PETALING JAYA, 21 Apr – Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan cukai karbon buat sementara waktu susulan konflik di Asia Barat, bagi mengelakkan tekanan tambahan kepada rakyat dan sektor industri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata, walaupun pelaksanaan cukai itu sebelum ini dirancang pada tahun ini, keutamaan kini beralih kepada pembangunan rangka kerja berkaitan kredit karbon.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan kepada ekonomi global.
“Kerajaan berhasrat melaksanakan cukai karbon, namun kita perlu mengambil kira masa yang sesuai. Pengumuman mengenai cukai karbon dalam Belanjawan 2026 dibuat sebelum konflik Asia Barat.
“Sebagai kerajaan, kita perlu berpijak pada realiti dan mengambil kira keadaan geopolitik semasa agar tidak membebankan industri serta rakyat.
“Kita mungkin akan mengkaji semula cukai karbon, namun perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MoF), manakala NRES menyediakan rangka kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) sempena Persidangan Perubahan Iklim dan Kelestarian 2026, di sini hari ini.
Tambah beliau, fokus semasa kerajaan adalah memastikan sistem pengesahan kredit karbon dibangunkan dengan teliti sebelum pelaksanaan sebarang akta berkaitan.
Katanya, usaha itu termasuk penubuhan Daftar Karbon bagi mengumpul data yang membolehkan pengukuran, penetapan harga serta urus niaga karbon dilaksanakan secara lebih teratur di peringkat antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemain industri agar tidak mengambil kesempatan atas penangguhan tersebut untuk melengah-lengahkan peralihan ke arah ekonomi hijau.
“Walau apa pun, kita tetap perlu bergerak ke arah ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui kerana bahan api fosil adalah sumber terhad.
“Sama ada berlaku krisis tenaga atau tidak, janganlah kita leka dan terlalu bergantung kepada bahan api fosil,” katanya.