CYBERJAYA, 21 Apr – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah memulakan siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan tidak benar di platform TikTok berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.
Dalam kenyataan, MCMC memaklumkan individu terbabit telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu proses siasatan, selain sebuah peranti komunikasi turut dirampas bagi tujuan forensik.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Menurut suruhanjaya itu, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial dan platform digital yang bertujuan menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga boleh mengelirukan masyarakat.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan kemudahan komunikasi secara beretika dan bertanggungjawab, termasuk tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.
“Selain tidak menyalah gunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” katanya.