Pemangku Raja Kelantan zahir penghargaan kepada Anwar bawa pembangunan ke Kelantan

Oleh Hazril Abdul

KOTA BHARU, 20 Apr – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menzahirkan penghargaan tinggi kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas jalinan kerjasama erat yang membantu merealisasikan pelbagai projek pembangunan di negeri itu.

Baginda bertitah, komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar dan inisiatif strategik turut membawa impak positif kepada pembangunan Kelantan.

“Sehubungan itu, Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya kepada Perdana Menteri.

“Ia di atas kerjasama strategik bersama kerajaan negeri yang telah menyumbangkan kejayaan dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini,” titah Baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Tengku Muhammad Fakhry Petra turut melahirkan rasa gembira dengan siapnya kerja naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini beroperasi sepenuhnya.

Baginda turut menaruh harapan agar kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diteruskan, khususnya dalam menjayakan projek Kota Bharu Sentral yang akan digabungkan dengan pembangunan Laluan Rel Pantai Timur sebagai hab pengangkutan moden.

Menurut Baginda, pembangunan tersebut berpotensi menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta membuka peluang baharu kepada rakyat di negeri ini.

Pada masa sama, Baginda berpandangan aspek infrastruktur di Kelantan masih memerlukan perhatian dan penambahbaikan supaya negeri itu tidak ketinggalan berbanding negeri lain.

“Beta amat berharap agar kerajaan negeri mengambil berat terhadap perancangan dan pelaksanaan infrastruktur di negeri ini dengan pelibatan langsung Kerajaan Persekutuan,” titah Baginda lagi.