KUALA LUMPUR, 10 Apr – Malaysia akan mewajibkan syarikat farmaseutikal melaporkan sebarang potensi kekurangan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal bermula 1 Julai 2026, sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi gangguan rantaian bekalan global.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan baharu itu menandakan peralihan daripada pengurusan krisis secara reaktif kepada sistem pemantauan dan jangkaan risiko yang lebih proaktif.
Menurut beliau, kewajipan itu akan dilaksanakan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara, dengan semua pemegang pendaftaran produk (PRH) perlu melaporkan kemungkinan gangguan atau penamatan bekalan ubat dalam tempoh ditetapkan.
“Langkah ini penting bagi membolehkan pemantauan ramalan dan amaran awal dilaksanakan, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk melakukan intervensi sebelum kekurangan menjejaskan fasiliti kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk Melindungi Bekalan Perubatan dalam Tempoh Ketidaktentuan, hari ini.
Dzulkefly turut memaklumkan bahawa pemain industri diberi tempoh sehingga 15 April untuk mengemukakan maklum balas berkaitan ketersediaan bahan farmaseutikal aktif serta bahan pembungkusan.
Tambah beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh negara bagi mengurangkan impak gangguan rantaian bekalan yang dijangka berterusan walaupun selepas berakhirnya krisis global semasa.
Dalam usaha memperkukuh daya tahan sistem kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menetapkan perancangan ke hadapan sehingga suku pertama 2027 bagi memastikan kestabilan logistik farmaseutikal.
“Berdasarkan simulasi kami, tekanan terhadap rantaian bekalan lazimnya berlaku sebagai kesan susulan sesuatu krisis dan boleh berlanjutan sekurang-kurangnya enam bulan. Justeru, persediaan perlu bersifat berterusan,” katanya.
Dari segi pengurusan stok, beliau menjelaskan bahawa Malaysia sedang memperkukuh sistem stok penampan secara berperingkat, melibatkan bekalan antara satu hingga tiga bulan di fasiliti kesihatan serta tambahan dua bulan di peringkat konsesi.
Selain itu, kerajaan turut mempergiat usaha mempelbagaikan sumber import ubat dan peranti perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran sahaja. Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) juga telah memperkenalkan mekanisme tindak balas pantas termasuk laluan khas bagi akses peralatan kritikal ketika krisis.
Mengambil pengajaran daripada pandemik COVID-19, Dzulkefly menegaskan bahawa pendekatan penyimpanan stok kini berasaskan data bagi mengelakkan pembaziran.
“Kita tidak sekadar mengisi gudang, sebaliknya memastikan item yang tepat tersedia pada masa yang diperlukan secara strategik dan berhemat,” katanya.
Beliau menambah, penggunaan rizab hanya akan dibuat dalam situasi tertentu seperti gangguan bekalan serius, kelewatan operasi atau kecemasan kesihatan awam.
Dalam jangka panjang, Dzulkefly berkata Malaysia sedang mempercepatkan transformasi ke arah menjadi hab serantau yang lebih mampan dan berdikari dalam sektor pembuatan penjagaan kesihatan.
Menurut beliau, dasar keterjaminan ubat kebangsaan di bawah MyMedSecure akan menjadi teras kepada usaha memperkukuh kapasiti domestik, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada import melalui pengeluaran tempatan bahan farmaseutikal aktif dan produk siap kritikal.