KUALA LUMPUR, 10 Apr – Kerajaan memberi amaran keras kepada syarikat korporat dan industri agar tidak menyalahgunakan pembelian bahan api bersubsidi dengan mendapatkan bekalan pada harga pam secara tidak sah.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, syarikat terlibat sepatutnya mendapatkan bekalan minyak secara terus daripada pembekal pada harga pasaran sekitar RM7 hingga RM8 seliter, bukannya membeli diesel di stesen minyak pada harga RM6.72 seliter yang masih menerima sebahagian subsidi kerajaan.
Menurut beliau, amalan yang dikenali sebagai “channel switching” itu bukan sahaja menyalahi peraturan, malah boleh menjejaskan sistem subsidi negara.
“Kerajaan memberi amaran kepada syarikat-syarikat ini supaya menghentikan aktiviti berkenaan atau berdepan tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika berucap pada Taklimat Krisis Tenaga Global, hari ini.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memperketat pemantauan bagi memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal stabil, di samping memperhebat operasi membanteras penyeludupan dan penyelewengan bahan api bersubsidi.
Dalam perkembangan berkaitan, harga petrol RON95 bersubsidi di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April, manakala harga tanpa subsidi meningkat 40 sen kepada RM4.27 seliter.
Bagi diesel pula, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, sementara harga tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia mencatatkan kenaikan sebanyak 70 sen kepada RM6.72 seliter.