KUALA LUMPUR, 13 Apr – Malaysia merekodkan sebanyak 3.36 juta ancaman siber berasaskan web sepanjang tahun 2025, seiring peningkatan aktiviti digital yang semakin meluas di rantau Asia Tenggara.
Menurut laporan syarikat keselamatan siber global, Kaspersky, rantau Asia Tenggara secara keseluruhan mencatatkan lebih 18 juta cubaan serangan dalam talian yang berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna dan organisasi.
Ancaman berasaskan web itu melibatkan pelbagai bentuk serangan termasuk laman sesawang yang telah dikompromi, muat turun berbahaya serta eksploitasi pelbagai vektor dalam talian yang boleh membawa kepada akses tanpa kebenaran dan kebocoran data sensitif.
Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik, Adrian Hia berkata, Vietnam mencatat jumlah ancaman tertinggi di rantau ini dengan 8.44 juta kes, diikuti Indonesia sebanyak 3.01 juta kes.
Menurut beliau, Thailand dan Singapura turut mencatatkan lebih satu juta serangan siber berasaskan web sepanjang tempoh sama.
“Walaupun terdapat penurunan dari segi jumlah ancaman web yang berjaya dikesan dan disekat terhadap pengguna perniagaan di Asia Tenggara, kami melihat trend peningkatan serangan yang menyasarkan organisasi di Singapura dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, tahap keselamatan siber dalam kalangan organisasi korporat menunjukkan perkembangan positif apabila semakin banyak syarikat memperkukuh sistem pertahanan mereka daripada ancaman digital.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kadar pengesanan ancaman yang tinggi turut mencerminkan pertumbuhan pesat penggunaan teknologi digital dalam aktiviti ekonomi dan sosial di rantau ini.
Seiring perkembangan itu, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan ekonomi digital Asia Tenggara kini bernilai sekitar AS$300 bilion dan berpotensi berkembang sehingga AS$1 trilion menjelang tahun 2030.