Kerajaan Pertimbang Guna MyKad untuk Subsidi Diesel, Susulan Kejayaan BUDI95

Oleh Hazril Abdul

PETALING JAYA, 8 Apr – Kerajaan sedang meneliti cadangan memperluaskan penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar, susulan kejayaan skim BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dalam mengurangkan ketirisan subsidi bahan api.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata penggunaan MyKad setakat ini terbukti berkesan dalam memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran, di samping menjimatkan perbelanjaan kerajaan tanpa menjejaskan corak pembelian rakyat secara ketara.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di pelbagai kawasan, termasuk bandar dan luar bandar, menunjukkan potensi pendekatan sama untuk diaplikasikan dalam pengagihan subsidi diesel.

Bagaimanapun, menurutnya, pelaksanaan mekanisme itu memerlukan penelitian rapi memandangkan corak penggunaan diesel yang berbeza mengikut lokasi.

“Di Sabah dan Sarawak, diesel bukan sahaja digunakan untuk kenderaan, tetapi juga bagi penjanaan elektrik. Selain itu, terdapat kawasan yang tidak mempunyai akses kepada stesen minyak biasa dan bergantung kepada kaedah pengagihan alternatif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang pelaksanaan perlu memastikan bekalan diesel tidak terganggu serta mengambil kira semua aspek logistik dan keperluan setempat.

“Kita perlukan masa untuk meneliti secara menyeluruh agar tiada perkara terlepas pandang yang boleh menjejaskan pelaksanaan,” katanya.

Untuk rekod, skim BUDI95 diperkenalkan pada September 2025 sebagai langkah menyasarkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia yang layak, selain mengekang ketirisan kepada pihak tidak sepatutnya.

Melalui skim itu, warganegara berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah boleh menikmati pembelian petrol bersubsidi menggunakan MyKad, sekali gus memperkukuh sistem penyasaran subsidi negara.