KUALA LUMPUR, 9 Apr – Kementerian Kewangan Malaysia menjelaskan bahawa penurunan harga minyak mentah global ketika ini belum memberi kesan langsung kepada harga runcit bahan api di stesen minyak tempatan.
Dalam satu hantaran di Facebook, kementerian itu memaklumkan bahawa penetapan harga bahan api tidak dibuat berdasarkan harga semasa pasaran dunia, sebaliknya mengambil kira purata harga minggu sebelumnya.
Menurut MOF, faktor lain seperti kos bekalan terdahulu turut memainkan peranan, memandangkan minyak yang digunakan ketika ini dibeli pada harga yang lebih tinggi sebelum ini.
“Harga minyak global sebelum ini melonjak selama beberapa minggu, menyebabkan peningkatan kos termasuk insurans dan logistik. Justeru, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan terdahulu yang tinggi,” menurut kenyataan itu.
MOF turut memaklumkan, kos terdahulu tersebut dianggarkan sekitar AS$150 setong bagi petrol dan AS$250 setong bagi diesel, yang masih mempengaruhi harga runcit ketika ini.
Walaupun berdepan tekanan kos, kerajaan mengambil langkah mengekalkan harga minyak bersubsidi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara serta mengawal kenaikan harga barangan.
Bagi tempoh 9 hingga 15 April, harga RON95 di bawah program BUDI MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga tanpa subsidi meningkat kepada RM4.27 seliter.
Sementara itu, harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung meningkat kepada RM6.72 seliter.
Langkah mengekalkan subsidi ini dilihat sebagai usaha kerajaan menyeimbangkan tekanan kos global dengan keperluan melindungi pengguna domestik daripada kesan kenaikan harga tenaga.