Tiada Sekatan Guna MyKad untuk BUDI95 Jika Patuhi Undang-Undang – JPN

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Orang ramai tidak dihalang menggunakan kad pengenalan bagi mendapatkan manfaat subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi penggunaannya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Penjelasan itu dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) susulan kekeliruan di media sosial yang mengaitkan penggunaan MyKad dalam kalangan ahli keluarga sebagai satu kesalahan.

Menurut JPN, kenyataan terdahulu oleh Ketua Pengarahnya, Badrul Hisham Alias, telah disalah tafsir, sedangkan ia merujuk kepada kes siasatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Jelas agensi itu, siasatan yang dijalankan adalah berkaitan dakwaan penggunaan empat keping MyKad oleh individu selain pemilik sebenar dalam satu kes di Kelantan, yang jelas melanggar undang-undang.

“Penjelasan Ketua Pengarah bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi kerajaan, sebaliknya berkait tindakan terhadap penyalahgunaan dokumen pengenalan diri,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, JPN menegaskan komitmennya untuk memastikan MyKad terus berfungsi sebagai dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai, termasuk dalam menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan seperti BUDI95.

Sehubungan itu, orang ramai digesa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta memahami konteks sebenar sebelum membuat sebarang kesimpulan bagi mengelakkan salah faham.

Mengulas lanjut, JPN memaklumkan aspek penguatkuasaan berkaitan penyalahgunaan dalam pelaksanaan subsidi BUDI95 adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan lain.