Iran Sahkan Kapal Malaysia Pertama Sudah Lepasi Selat Hormuz

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Sebuah kapal Malaysia menjadi yang pertama berjaya melepasi Selat Hormuz selepas kebenaran laluan diperoleh susulan rundingan diplomatik antara Malaysia dan Iran.

Perkembangan itu disahkan oleh Kedutaan Iran di Malaysia menerusi satu hantaran di platform X yang turut memaparkan imej kapal berkenaan.

Dalam kenyataan tersebut, Tehran menegaskan hubungan baik dengan Malaysia dan menyifatkan negara ini sebagai rakan yang tidak akan dilupakan.

Menurut laporan sebelum ini, kapal berkenaan merupakan kapal tangki minyak yang disewa oleh PETRONAS dan kini sedang dalam perjalanan menuju ke Pengerang, Johor.

Kapal itu adalah antara beberapa kapal Malaysia yang diberi kebenaran untuk melalui laluan strategik berkenaan, yang sebelum ini terjejas susulan ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat.

Kebenaran tersebut dicapai hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan kepimpinan Iran baru-baru ini, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan diplomasi Malaysia dalam memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara.