KUALA LUMPUR, 6 Apr – Malaysia perlu mengamalkan pendekatan diplomasi yang bijaksana dan seimbang dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan serta harga komoditi dunia.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, seperti dilaporkan Bernama berkata meskipun negara mempunyai pendirian tegas dalam isu antarabangsa, hubungan perdagangan dan ekonomi dengan kuasa besar dunia tetap perlu diurus secara strategik demi kepentingan nasional.
Beliau menegaskan konsep “art of diplomacy” membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai negara termasuk di Asia Barat dan Amerika Syarikat tanpa mengorbankan prinsip.
“Walaupun kita tegas dalam beberapa isu melibatkan Amerika Syarikat, kita perlu bijak supaya tidak terlalu bermusuh dan masih boleh meneruskan jaringan kerjasama perdagangan.
“Kita tidak boleh terperangkap dengan pendekatan ‘bersama atau menentang’. Diplomasi memerlukan kebijaksanaan untuk menjaga kepentingan negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kolej Vokasional Pengerang di SMK Tanjung Pengelih semalam.
Menurut beliau, pendekatan diplomatik yang pragmatik telah membantu Malaysia menangani cabaran berkaitan krisis tenaga global, termasuk isu keselamatan laluan perkapalan dan bekalan minyak.
Anwar mendedahkan hasil perbincangan dengan Presiden Iran, Malaysia berjaya mendapatkan kebenaran laluan bagi tujuh kapal negara yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz untuk meneruskan perjalanan pulang.
Beliau berkata, rundingan itu bukan mudah dan memerlukan hubungan diplomatik yang kukuh, termasuk komunikasi dengan beberapa negara lain seperti Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Pakistan, Turkiye dan Amerika Syarikat.
“Saya maklumkan bahawa kapal kita tersangkut di Selat Hormuz dan ia amat penting untuk bekalan minyak serta keperluan rakyat. Selepas perbincangan itu, pihak Iran bersetuju memberi laluan segera. Ini menunjukkan pentingnya hubungan diplomatik yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata konflik di Asia Barat memberi tekanan besar kepada ekonomi global, termasuk lonjakan harga minyak, peningkatan kos logistik serta gangguan rantaian bekalan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan Malaysia masih lebih stabil berbanding beberapa negara lain yang terpaksa mengambil langkah drastik susulan krisis berkenaan.
Kerajaan MADANI, katanya, komited untuk terus mencari penyelesaian strategik melalui pelbagai pendekatan termasuk cadangan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Harga minyak, baja, bahan kimia dan kos perkapalan meningkat, namun kita bersyukur keadaan negara tidak seteruk negara lain. Ada negara yang terpaksa menutup ratusan stesen minyak dan harga bahan api melonjak tinggi,” katanya.