KOTA TINGGI, 6 April – Usaha berterusan kerajaan mengekang ketirisan hasil negara mula menampakkan hasil apabila sejumlah RM15.5 bilion berjaya dipulihkan dalam tempoh dua tahun lalu, sekali gus membantu menampung beban subsidi rakyat ketika dunia berdepan tekanan krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kejayaan itu dicapai menerusi penguatkuasaan lebih tegas oleh agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, dana yang sebelum ini bocor akibat salah guna dan penyelewengan kini dapat diselamatkan dan disalurkan semula untuk manfaat rakyat, khususnya golongan luar bandar termasuk komuniti FELDA.
“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kita berjaya mengutip semula wang yang hilang. Rakyat perlu faham bahawa kebocoran ini berlaku dan mesti dihentikan agar hasil negara dapat digunakan untuk membela nasib mereka,” katanya ketika berucap pada Program Bersama Peneroka Felda Semenchu di sini semalam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan kini menanggung komitmen subsidi yang tinggi, mencecah kira-kira RM6 bilion sebulan. Jumlah itu meliputi pelaksanaan program subsidi bahan api termasuk BUDI95, selain bantuan diesel kepada sektor pertanian, perikanan dan pengangkutan awam.
Anwar tidak menolak kemungkinan beban subsidi itu akan terus meningkat sekiranya ketidaktentuan pasaran tenaga global berlarutan.
Mengulas mengenai FELDA, beliau menekankan keperluan untuk memperkukuh tadbir urus agensi itu agar mampu bangkit daripada isu beban hutang lama serta kembali memainkan peranan penting dalam pembangunan luar bandar.
Kerajaan, katanya, komited untuk terus memperkasa agenda pembangunan FELDA secara menyeluruh, meliputi aspek pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti peneroka.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di Felda Semenchu, termasuk penambahbaikan infrastruktur awam, sekolah dan masjid demi keselesaan penduduk setempat.