Dunia kini sedang berdepan satu realiti baharu, bukan sekadar konflik geopolitik, tetapi krisis tenaga global yang menggoncang rantaian bekalan, harga minyak dan kestabilan ekonomi dunia.
Di tengah ketidaktentuan ini, banyak negara mula goyah. Namun Malaysia memilih pendekatan berbeza — bertindak awal, berlapis, dan paling penting, menggabungkan kekuatan dasar domestik dengan diplomasi antarabangsa.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri mengakui: “It is no longer business as usual.”
Diplomasi Jadi Penyelamat: Kejayaan Buka Laluan Hormuz
Dalam keseluruhan krisis ini, satu langkah paling kritikal dan boleh dianggap sebagai kejayaan strategik terbesar Malaysia setakat ini adalah rundingan dengan Iran.
Melalui diplomasi intensif, termasuk panggilan terus kepada Presiden Iran, Malaysia berjaya mencapai persetujuan penting termasuk kapal-kapal Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz. Keputusan ini amat signifikan kerana sekitar 50% bekalan minyak Malaysia melalui laluan ini.
Beberapa kapal tangki Malaysia sebelum ini terperangkap. Laluan tersebut merupakan antara paling kritikal dalam perdagangan tenaga dunia. Malah, rundingan ini turut membolehkan pembebasan kapal tangki dan kru Malaysia.
Laluan tersebut juga dipastikan selamat tanpa gangguan untuk kapal negara Malaysia. Dalam konteks krisis tenaga global, ini bukan sekadar kejayaan diplomas, ia adalah jaminan kesinambungan bekalan tenaga negara.
Menahan Tekanan, Melindungi Rakyat
Di dalam negara, kerajaan mengambil pendekatan melindungi rakyat daripada kejutan harga, antaranya, harga RON95 dikekalkan pada RM1.99, subsidi diteruskan melalui perbelanjaan mencecah RM4 bilion.
Namun dalam masa sama, kuota BUDI95 dikurangkan kepada 200 liter sebulan, penguatkuasaan diesel diperketat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Langkah ini menunjukkan satu realiti penting iaitu subsidi dikekalkan, tetapi disiplin fiskal tetap dijaga.
Krisis ini turut memaksa perubahan pada skala nasional. Beberapa langkah awal telah diumumkan. ia termasuk pembatalan rumah terbuka Aidilfitri peringkat Persekutuan, pengurangan perbelanjaan kerajaan serta pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 15 April.
Ini bukan sekadar simbolik, tetapi strategi untuk mengurangkan penggunaan bahan api sekaligus mengawal permintaan tenaga.
Di Mata Dunia: Malaysia Antara Yang Paling Tahan
Menariknya, dalam krisis global ini, Malaysia tidak dilihat sebagai mangsa. Menurut JPMorgan Chase, Malaysia bersama China muncul sebagai antara ekonomi paling berdaya tahan di Asia.
Faktor utama menyumbang kepada kekuatan negara adalah status pengeksport tenaga, dasar fiskal berdisiplin dan inflasi negara yang terkawal.
Secara kesimpulan, Malaysia bertahan dengan strategi menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada satu pendekatan.
Sebaliknya, negara menggabungkan subsidi untuk lindungi rakyat, pelarasan untuk kawal fiskal, BDR untuk kurangkan penggunaan tenaga, diplomasi untuk pastikan bekalan.
Namun satu perkara paling menonjol, ketika dunia bergelut dengan gangguan bekalan, Malaysia berjaya membuka laluan sendiri.
Dalam krisis sebesar ini, mungkin perbezaan paling besar Malaysia dengan negara-negara lain adalah kemampuan untuk bertahan dengan strategi diplomasi luaran dan sumber dalaman yang digerakkan secara seiringan.