KUALA LUMPUR, 2 Apr: Kerajaan akan memperketatkan langkah penjimatan tenaga di bangunan kerajaan termasuk menetapkan suhu minimum penyaman udara pada 24 darjah Celsius susulan tekanan krisis tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata langkah itu merupakan antara pendekatan segera bagi mengurangkan penggunaan tenaga secara lebih berhemah di peringkat nasional.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, penjawat awam turut digalakkan menyesuaikan pemakaian dengan iklim tempatan seperti batik, kemeja korporat atau baju Melayu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyejukan melampau.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara cekap dan bertanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Krisis Tenaga Global yang disiarkan secara langsung hari ini.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada langkah lebih menyeluruh kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan tenaga dunia susulan konflik di Asia Barat.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, turut mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April ini sebagai usaha mengurangkan penggunaan bahan api.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dengan matlamat memastikan kelestarian bekalan tenaga negara yang terkesan akibat krisis global.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal namun bersiap siaga untuk mengambil langkah tambahan sekiranya keadaan menjadi lebih mencabar.
“Kita kini berdepan situasi yang kompleks dalam landskap ekonomi global apabila konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada bekalan dan harga tenaga dunia,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran dan mendorong kenaikan harga minyak global.
Menurutnya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias tersebut dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya krisis berlarutan.
“Kerajaan memahami kebimbangan rakyat dan pendekatan yang diambil adalah tersusun serta memberi keutamaan kepada kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.