BANGI, 2 Apr: Kerajaan memberi jaminan bahawa harga barangan keperluan harian di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata setakat ini pihak kementerian belum menerima sebarang laporan berkaitan kenaikan harga secara mendadak di pasaran.
Menurut beliau, pemantauan berterusan serta libat urus aktif dengan pemain industri menjadi antara langkah utama bagi memastikan kestabilan harga dapat dikekalkan.
“Buat masa ini keadaan masih terkawal dan tiada peningkatan harga yang ketara dilaporkan. Sekiranya terdapat keperluan untuk pelarasan harga, pihak industri perlu berunding terlebih dahulu dengan kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Terdahulu, laporan media memetik Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia yang menjangkakan kemungkinan kenaikan harga makanan sehingga 50 peratus susulan peningkatan kos operasi, termasuk harga bahan mentah dan kos pengangkutan.
Presidennya, Rosli Sulaiman, dilaporkan berkata tekanan kos tersebut berpunca daripada kenaikan harga bahan asas serta kos logistik yang banyak bergantung kepada penggunaan kenderaan diesel.
Mengulas perkara itu, Fuziah menegaskan kementerian memahami cabaran yang dihadapi susulan perkembangan geopolitik dan ekonomi global, namun memberi jaminan bahawa kawalan serta pemantauan harga dilaksanakan secara harian.
“KPDN sentiasa memantau bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah, sekali gus melindungi kepentingan pengguna,” katanya.