PUTRAJAYA, 2 Apr: Penjawat awam di beberapa kawasan utama termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) selama tiga hari seminggu bermula 15 April ini, susulan langkah kerajaan menangani kesan konflik Asia Barat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata kemudahan itu turut melibatkan semua ibu negeri, khususnya bagi pegawai yang mempunyai jarak perjalanan melebihi lapan kilometer sehala dari rumah ke pejabat.
Menurut beliau, garis panduan tersebut diperincikan menerusi surat edaran rasmi yang dikeluarkan hari ini, selaras dengan peruntukan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia berkaitan dasar BDR.
Bagaimanapun, pelaksanaan itu tidak terpakai kepada sektor kritikal yang melibatkan keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.
“Langkah ini diambil sebagai sebahagian pendekatan fleksibel dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan awam, di samping mengambil kira situasi semasa,” menurut kenyataan itu.
Bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai hari kelepasan mingguan, pelaksanaan BDR ditetapkan selama tiga hari berturut-turut iaitu Selasa hingga Khamis.
Sementara itu, bagi negeri yang menjadikan Jumaat sebagai hari kelepasan mingguan seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR akan dilaksanakan pada Isnin hingga Rabu.
Sepanjang tempoh berkenaan, pegawai dikehendaki bekerja dari alamat kediaman yang berdaftar dalam Human Resource Management Information System.
Selain itu, pemantauan kehadiran dan tugasan akan dilaksanakan melalui Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik yang menggunakan fungsi geolokasi pada peranti mudah alih.
Melalui sistem tersebut, penjawat awam perlu merekodkan kehadiran setiap satu jam, manakala ketua jabatan bertanggungjawab memastikan pematuhan serta memantau keberadaan pegawai sepanjang tempoh bekerja dari rumah.