KUALA LUMPUR, 2 Apr: Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi bagi menyelaras penyampaian maklumat rasmi berkaitan krisis tenaga global dan perkembangan geopolitik susulan konflik di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata keputusan penubuhan pusat berkenaan dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, dengan operasinya diletakkan di bawah kerangka Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Menurut beliau, pusat arahan itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, yang juga akan mengendalikan sidang media harian bermula pada jam 4 petang hari ini.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan komunikasi kerajaan lebih tersusun dan bersepadu, khususnya dalam menjelaskan langkah-langkah yang diambil kerajaan serta agensi berkaitan berhubung krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat,” katanya dalam sidang media mingguan di Angkasapuri semalam.
Tambah beliau, sidang media tersebut akan memberi fokus kepada perkembangan semasa melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Israel dan Iran serta implikasinya terhadap ekonomi Malaysia.
Langkah berkenaan dilihat sebagai pendekatan lebih agresif kerajaan dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, konsisten dan tidak mengelirukan ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
Dalam perkembangan berkaitan, Jemaah Menteri turut memutuskan supaya Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam masa terdekat.
Menurut Fahmi, sesi itu bertujuan memperincikan langkah serta strategi kerajaan dalam menangani kesan ekonomi dan kewangan akibat krisis di Asia Barat serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Selain itu, beliau memaklumkan beberapa mesyuarat peringkat ASEAN tahun ini akan dilaksanakan secara dalam talian sebagai langkah berjaga-jaga, kecuali pertemuan melibatkan ketua-ketua kerajaan.
Antara mesyuarat terdekat ialah pertemuan Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN yang akan berlangsung secara maya selaras dengan situasi semasa.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dijadualkan mengadakan pertemuan bersama menteri besar, premier dan ketua menteri esok bagi membincangkan aspek keselamatan serta impak ekonomi susulan konflik berkenaan.
Fahmi turut mendedahkan bahawa kerajaan kini di peringkat akhir memperhalusi dasar kerja dari rumah bagi sektor awam sebagai sebahagian usaha memperkukuh pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel, seiring pengalaman ketika pandemik COVID-19.
Katanya, butiran lanjut sedang dimuktamadkan sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, dengan pelaksanaan dijangka dibuat secara berperingkat.
Dalam masa sama, kerajaan turut meneliti langkah mengurangkan kerenah birokrasi, khususnya dalam urusan permohonan lesen perniagaan, bagi membantu sektor yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global.
“KSN telah diarahkan untuk menilai dan mengemukakan cadangan bagi mempermudah proses, terutama bagi industri dan perniagaan yang terjejas susulan krisis tenaga global,” katanya.