Sebar Maklumat Palsu Ketika Krisis Asia Barat Perbuatan Khianat Negara – PM

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 1 Apr: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa tindakan menyebarkan berita palsu dalam situasi mencabar ketika ini, khususnya berkaitan konflik Asia Barat, merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.

Menerusi satu video taklimat ringkas hari ini, beliau mengingatkan rakyat agar lebih berwaspada dengan lambakan maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial, terutama melibatkan isu harga minyak, barangan keperluan serta dasar kerajaan.

Menurut beliau, negara kini berdepan tekanan luar biasa yang memerlukan kerjasama semua pihak, dan usaha tersebut tidak seharusnya digugat oleh segelintir pihak yang sanggup memanipulasi maklumat demi kepentingan politik sempit.

“Dalam keadaan penuh cabaran ini, kita tidak boleh membiarkan budaya fitnah, kebencian dan sabotaj terus merosakkan usaha yang sedang digerakkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan terus mempergiat pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran kandungan palsu.

Setakat ini, sebanyak 96 kes berita tidak benar melibatkan harga minyak dan elektrik telah dikenal pasti tersebar di pelbagai platform media sosial.

Perdana Menteri turut menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menerima dan berkongsi maklumat dengan memastikan setiap berita disemak daripada sumber yang sahih.

“Semak dengan teliti, tapis maklumat dan pastikan kita tidak menjadi sebahagian daripada rantaian penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keluarga, masyarakat dan negara,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama mendoakan agar segala usaha kerajaan dan rakyat dipermudahkan serta negara terus dilindungi daripada sebarang ancaman.

Dalam perkembangan berkaitan, Buletin TV3 turut menafikan penglibatan mereka dalam penyebaran satu grafik tular berhubung harga minyak yang menggunakan nama dan identiti visual mereka.

Pihak berkenaan menegaskan bahawa maklumat tersebut adalah palsu dan tidak pernah diterbitkan oleh organisasi media itu.