MCMC siasat tiga individu sebar maklumat palsu kenaikan tarif elektrik

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berkaitan dakwaan kenaikan tarif elektrik di platform media sosial.

Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan bahawa kandungan berunsur palsu itu dikesan tersebar melalui beberapa platform digital termasuk Facebook, Threads dan WhatsApp, selain dipercayai menggunakan elemen grafik yang menyerupai agensi berita bagi mengelirukan orang ramai.

Menurut MCMC, hasil siasatan awal mendapati maklumat yang disebarkan adalah tidak benar dan berpotensi mencetuskan persepsi negatif serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

“Malah, semakan turut mendapati kandungan tersebut telah diubah suai daripada bahan asal milik Astro AWANI,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan menyebarkan maklumat tidak benar dan mengelirukan orang ramai, serta memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.