KUALA LUMPUR, 1 Apr – Lebih 10,000 akaun media sosial palsu yang menyalahgunakan identiti kerabat diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah diturunkan sejak awal tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu dilaksanakan oleh platform media sosial hasil pemantauan berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta laporan yang diterima daripada pelbagai pihak bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Mac lalu.
Menurut beliau, trend penyalahgunaan identiti diraja itu masih berterusan dengan kemunculan akaun palsu hampir setiap hari, termasuk yang menggunakan nama tokoh seperti Sultan Pahang dan Tunku Mahkota Ismail.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Asia-Pacific Broadcasting Union Digital Broadcasting Symposium di sini, sambil mengulas pertemuannya mempersembahkan perkembangan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 kepada Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku.
Menurut Fahmi Fadzil, Seri Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap isu berkenaan dan menitahkan agar tindakan lebih tegas serta segera diambil, termasuk menggunakan peruntukan undang-undang di bawah akta tersebut bagi memastikan platform digital mematuhi peraturan negara.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan identiti kerabat diraja terus diperalat untuk tujuan penipuan, termasuk melalui teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Dalam masa sama, beliau menyuarakan kekecewaan terhadap sikap sesetengah platform antarabangsa seperti Meta Platforms yang didakwa lambat bertindak terhadap laporan akaun palsu.
“Kerajaan akan terus tegas melaksanakan undang-undang. Beberapa instrumen subsidiari kini dalam proses untuk dimuktamadkan dan diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum penguatkuasaan penuh dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Selain itu, Fahmi Fadzil memaklumkan satu mesyuarat khas bersama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan diadakan bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan digital, termasuk yang melibatkan teknologi ‘deepfake’.
Mesyuarat itu dijangka melibatkan pelbagai agensi utama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Peguam Negara bagi menyelaras tindakan lebih bersepadu.