KUALA LUMPUR, 31 Mac– Ekonomi Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global yang semakin mencabar, dengan kerajaan giat memperluaskan pendekatan alternatif termasuk pelaksanaan langkah ‘Pelan B’ bagi memastikan momentum pertumbuhan terus terpelihara.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kekuatan asas ekonomi negara yang disokong oleh kejelasan dasar, kestabilan politik serta penyelarasan berkesan antara institusi utama terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini.
Menurut beliau, daya tahan ekonomi negara terbukti apabila Malaysia kekal kompetitif di peringkat serantau, hasil kerjasama rapat antara institusi seperti Bank Negara Malaysia dan Perbendaharaan, selain pengurusan ekonomi yang konsisten.
Beliau berkata demikian ketika memoderatorkan sesi Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 9 yang turut menghimpunkan tokoh ekonomi termasuk Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour serta Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi.
Dalam masa sama, Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan mengambil pendekatan proaktif bagi menangani risiko luaran yang semakin kompleks, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi tekanan tambahan kepada persekitaran ekonomi global.
“Kita kini berdepan situasi yang belum pernah diterokai sepenuhnya dengan cabaran baharu yang memerlukan tindak balas pantas dan terancang,” katanya.
Beliau menegaskan, keupayaan mengenal pasti isu lebih awal membolehkan kerajaan merangka langkah intervensi yang lebih berkesan, selain memastikan rakyat dimaklumkan secara telus mengenai perkembangan semasa.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pendekatan kerajaan adalah bersifat terukur dan realistik, memandangkan sebarang penyelesaian terhadap konflik global tidak akan serta-merta memulihkan keadaan ekonomi sepenuhnya.
“Walaupun penyelesaian dicapai dalam masa terdekat, ia tetap memerlukan tempoh tertentu sebelum aktiviti ekonomi kembali beroperasi secara optimum,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa bagi memastikan Malaysia kekal berada pada landasan pertumbuhan yang mampan.
Pada masa sama, Anwar Ibrahim turut menyeru usaha kolektif seluruh negara untuk menyokong dasar ekonomi sedia ada serta mengekalkan kestabilan dalam menghadapi cabaran global, dengan memberi tumpuan kepada keutamaan pembangunan ekonomi negara.