Laporan Bloomberg berkait siasatan saham Azam Baki, tak betul – KSN

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Kerajaan menolak sepenuhnya laporan yang disiarkan oleh Bloomberg yang mendakwa wujud campur tangan dalam urusan pendedahan hasil siasatan berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan bahawa dakwaan kononnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengarahkan penangguhan pendedahan siasatan adalah tidak benar sama sekali.

Menurut beliau, hasil siasatan telah dibentangkan oleh jawatankuasa berkaitan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, dan susulan itu, prosiding rasmi telah dimulakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Proses ini tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan susulan terhadap Bloomberg berhubung penyiaran laporan berkenaan.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa itu melaporkan dakwaan berhubung campur tangan dalam penetapan garis masa pendedahan hasil siasatan melibatkan Azam Baki.