PUTRAJAYA, 30 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi membanteras penyelewengan petrol bersubsidi RON95.
Memetik laporan Bernama, Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam, berkata langkah itu bertujuan memperkukuh pemantauan memandangkan rakaman CCTV akan disalurkan terus ke pusat kawalan penguatkuasaan serta pejabat negeri untuk tindakan segera.
Menurut beliau, pelaksanaan fasa rintis kini sedang dijalankan secara berperingkat dengan kerjasama pemain industri, khususnya di kawasan ‘hotspot’ termasuk negeri berhampiran sempadan negara.
“Penggunaan teknologi ini akan dipergiatkan tahun ini bagi memastikan isu ketirisan dan penyelewengan dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.
Azman menjelaskan, antara taktik yang digunakan sindiket termasuk pembelian berulang di stesen minyak serta penggunaan kenderaan yang diubah suai dengan tangki tambahan bagi mengumpul petrol bersubsidi.
Sehubungan itu, KPDN turut memperketat pemantauan melalui analisis data sistem Point of Sale (POS) bagi mengesan pola pembelian yang mencurigakan di peringkat runcit.
“Sekiranya terdapat anomali seperti lonjakan pembelian yang tidak sepadan dengan demografi setempat, sistem akan mencetuskan amaran awal dan pasukan penguat kuasa akan digerakkan segera ke lokasi,” jelasnya.
Dalam masa sama, operasi bersepadu terus diperkasakan secara berkala terutama di kawasan sempadan dan lokasi berisiko tinggi bagi menutup ruang kepada aktiviti penyeludupan bahan api.
Beliau turut memaklumkan bahawa kes penyelewengan RON95 menunjukkan penurunan daripada 1,713 kes pada 2024 kepada 1,300 kes pada 2025, hasil tindakan tegas termasuk penggantungan lesen pengusaha stesen minyak yang bersekongkol serta peningkatan kesedaran dalam kalangan peruncit.
Tegasnya, KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan petrol bersubsidi dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dan tidak disalah guna.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, turut menyeru semua agensi kerajaan supaya mempertingkatkan ketegasan dalam penguatkuasaan bagi mengekang sebarang bentuk penyelewengan RON95.