PUTRAJAYA, 30 Mac: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sedang meneliti cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain menjalani hukuman penjara.
Menterinya, Anthony Loke, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, kerajaan memandang serius setiap insiden kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah, dan menegaskan tiada kompromi terhadap kesalahan sedemikian.
Dalam kenyataannya, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas di Klang yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima.
“Insiden sebegini bukan sahaja meragut nyawa individu tidak bersalah, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa,” katanya.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Jalan Raya Barat, Klang, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu secara melulu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.
Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke arah sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ujian saringan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol serta dadah.
Mengulas lanjut, Anthony berkata pindaan terdahulu terhadap undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa pada Oktober 2020 telah memperkenalkan hukuman lebih berat kepada pesalah.
Di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh bahan terlarang sehingga menyebabkan kematian boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun serta didenda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, hukuman meningkat kepada penjara antara 15 hingga 20 tahun, selain denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
Dalam masa sama, MOT turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyegerakan siasatan kes berkenaan supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia untuk tindakan pendakwaan.
“MOT berharap mahkamah dapat menjatuhkan hukuman paling tegas sekiranya pesalah didapati bersalah,” katanya sambil menambah cadangan pindaan baharu itu akan memberi keadilan lebih menyeluruh kepada keluarga mangsa.