KUALA LUMPUR, 30 Mac: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) esok bagi merangka langkah strategik dalam menghadapi kesan konflik geopolitik di Asia Barat terhadap ekonomi negara.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata mesyuarat itu dijangka memberi fokus kepada usaha mengurangkan tekanan yang sedang dihadapi pemain industri pertanian, khususnya dalam sektor perikanan dan penanaman.
Menurut beliau, konflik yang berlarutan di Asia Barat kini memberi kesan meluas di peringkat global, termasuk mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga serta peningkatan harga minyak yang memberi tekanan langsung kepada ekonomi negara-negara Asia.
“Gangguan di Selat Hormuz menunjukkan betapa rapuhnya kestabilan bekalan bahan api dunia ketika ini. Kesan rantaian daripada situasi ini turut menjejaskan rantaian bekalan makanan dan akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Malaysia masih berada pada tahap daya tahan yang baik dalam berdepan krisis global, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan sambil lewa.
“Kerajaan kekal komited untuk bersiap siaga dengan langkah proaktif, termasuk mempertimbangkan pelbagai kemungkinan sehingga ke senario paling buruk,” katanya.
Terdahulu, Chan menghadiri sesi taklimat pembentangan Kertas MTEN kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang memberi tumpuan kepada kedudukan semasa bekalan makanan negara serta langkah mitigasi yang perlu diperkukuh bagi memastikan keterjaminan makanan terus terpelihara.