Mesir komited bantu lancarkan penghantaran bantuan Malaysia ke Gaza – Anwar

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Kerajaan Mesir memberi jaminan akan memudahkan proses penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza, melibatkan kira-kira 374 tan bekalan yang dijadual mula dihantar pada April ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata komitmen tersebut diperoleh hasil pertemuan beliau dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini bagi membincangkan aspek logistik penghantaran bantuan melalui pintu sempadan Rafah.

Menurut beliau, jaminan yang diberikan itu amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

“Presiden El-Sisi telah memberikan komitmen jelas untuk mempermudah akses di sempadan Rafah, sekali gus membolehkan bantuan ini sampai kepada lebih 100,000 penduduk Gaza dalam kadar segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan Malaysia akan terus berpegang pada pendirian tegas dalam memperjuangkan isu kemanusiaan tanpa tunduk kepada sebarang tekanan atau halangan.

Beliau berkata usaha menyalurkan bantuan tidak akan dihentikan walaupun berdepan kekangan, termasuk tindakan yang boleh menghalang misi kemanusiaan di wilayah berkenaan.

“Dalam dunia yang kadangkala dipenuhi sikap tidak peduli dan hipokrasi, Malaysia akan terus menjadi suara yang berprinsip, mempertahankan hak golongan tertindas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengajak rakyat Malaysia mendoakan agar segala urusan penghantaran bantuan dipermudahkan dan dapat disampaikan dengan selamat kepada penduduk Gaza yang terjejas.