KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kemajuan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai 92.62 peratus setakat Februari 2026, sekali gus berada di landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata jajaran utama dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini sebelum operasi komersial dimulakan pada Januari 2027.
Menurut beliau, bagi jajaran sambungan dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula, kerja pembinaan dijangka selesai menjelang Disember 2027 dan akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
Beliau berkata pengoperasian tren elektrik melibatkan Tren Elektrik Pelbagai Gerabak (EMU) dan Lokomotif Elektrik (E-Loco) bakal memperkukuh peranan East Coast Rail Link sebagai sistem pengangkutan hijau bagi penumpang serta kargo melalui rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer merentasi negeri-negeri Pantai Timur dan Selangor.
Dalam masa sama, projek berkenaan turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila pembinaan landasan utama sepanjang 519 kilometer dari Kota Bharu ke Gombak berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi serta kerjasama erat antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company (CCC)-ECRL, selain sokongan pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Perjanjian Pelantikan Penyelaras Utama Bersama (JLC) bagi pengurusan risiko pertukaran asing projek ECRL serta majlis penyempurnaan pembinaan landasan dari Kota Bharu ke Gombak yang berlangsung di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak.
Pada majlis itu, Amir Hamzah turut menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Malaysia Rail Link dan lapan institusi kewangan tempatan termasuk Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Bank Berhad dan RHB Bank Berhad bagi mewujudkan mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing berkaitan pembiayaan projek berkenaan.
Beliau berkata penglibatan institusi perbankan utama negara itu menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap struktur kewangan projek ECRL serta kemampuan sistem kewangan Malaysia menyokong projek infrastruktur strategik berskala besar.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut mengukuhkan tadbir urus kewangan, ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek pembangunan negara selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap projek dilaksanakan secara berintegriti serta berdisiplin dari sudut fiskal.
“Pada masa sama, kejayaan melaksanakan mekanisme pengurusan risiko kewangan ini mencerminkan kematangan sistem kewangan negara dalam menyokong pembiayaan projek infrastruktur berskala besar melalui pendekatan profesional, telus dan berlandaskan disiplin pasaran,” katanya.