KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan tenaga domestik termasuk petrol dan diesel kekal mencukupi walaupun ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan global.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia berada dalam kedudukan lebih stabil berbanding banyak negara lain kerana memiliki industri minyak dan gas sendiri selain keupayaan memproses sumber tenaga di dalam negara.
Menurut beliau, faktor tersebut membolehkan Malaysia mengurus sebarang risiko gangguan bekalan yang mungkin berlaku akibat konflik di rantau berkenaan.
“Walaupun dunia kini berdepan kemungkinan kekurangan bekalan susulan konflik yang melibatkan pengeluar utama tenaga, situasi di Malaysia masih terkawal.
“Setakat ini bekalan tenaga dalam negara adalah mencukupi dan stabil untuk kegunaan domestik,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di sini hari ini.
Beliau turut merujuk penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekalan petrol dan diesel negara ketika ini mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.
Amir Hamzah berkata kebimbangan di peringkat global timbul kerana rantau Asia Barat menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pengeluaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Namun, Malaysia mempunyai kelebihan kerana terlibat secara langsung dalam aktiviti penerokaan, pengeluaran serta pemprosesan sumber tenaga.
Dalam masa sama, syarikat minyak nasional, Petronas bersama syarikat tenaga lain di negara ini turut berusaha memastikan tempoh bekalan sedia ada dapat dipanjangkan.
“Kita mempunyai kapasiti penapisan dan storan yang baik selain keupayaan menjalankan aktiviti cari gali serta pengeluaran sendiri,” jelasnya.
Ketegangan di rantau tersebut semakin memuncak selepas pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Selat Hormuz akan terus ditutup sebagai tekanan terhadap pihak yang dianggap musuh Iran.
Beliau juga dilaporkan memberi amaran bahawa pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau itu perlu ditutup atau berdepan tindakan serangan.