KUALA LUMPUR, 12 Mac – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,000 daripada anak lelaki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tertuduh, Khuzairi Yahaya, 54, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan SSM, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Khuzairi didakwa menerima wang tunai RM50,000 daripada Faisal Hamzah tanpa balasan yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Mei 2018 di Ibu Pejabat SSM@Sentral, No. 7, Jalan Stesen 5, Kuala Lumpur Sentral.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, pasport tertuduh turut diperintahkan diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan.
Khuzairi juga diarahkan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berhampiran dengan kediamannya pada Isnin pertama setiap bulan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan dengan alasan terdapat kemungkinan tertuduh melarikan diri.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Aizat Fakri yang mewakili Khuzairi memaklumkan pihak pembelaan tidak membantah jumlah jaminan dan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen berkaitan.