Bayaran balik cukai mula dikreditkan secara berperingkat minggu kedua Mac

Oleh Admin 06

CYBERJAYA, 6 Mac – Bayaran balik cukai kepada pembayar cukai yang layak akan mula dikreditkan secara berperingkat bermula minggu kedua Mac 2026.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam satu kenyataan memaklumkan bayaran tersebut melibatkan pembayar cukai individu yang telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025.

Menurut HASiL, proses bayaran balik itu dilaksanakan selaras dengan Piagam Pelanggan agensi berkenaan.

Bagi BNCP yang dihantar melalui sistem e-Filing, bayaran balik akan diproses dalam tempoh sehingga 30 hari bekerja, manakala bagi borang yang dihantar secara manual pula tempoh pemprosesannya adalah sehingga 90 hari bekerja.

Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan bayaran balik boleh dikreditkan lebih awal sekiranya maklumat yang diberikan oleh pembayar cukai adalah lengkap dan tepat serta tidak memerlukan semakan lanjut.

Sehubungan itu, pembayar cukai dinasihatkan memastikan maklumat akaun bank yang didaftarkan dengan HASiL adalah betul dan terkini bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam proses bayaran balik.