KUALA LUMPUR, 6 Mac – Rizab antarabangsa negara yang dipegang oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$128.3 bilion setakat 27 Februari 2026.
BNM dalam satu kenyataan memaklumkan paras rizab tersebut mencukupi untuk membiayai import barangan dan perkhidmatan selama 4.7 bulan, selain bersamaan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek negara.
Menurut bank pusat itu, komponen terbesar rizab antarabangsa berkenaan terdiri daripada rizab mata wang asing berjumlah AS$112.5 bilion.
Selain itu, komponen lain termasuk kedudukan rizab dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$1.3 bilion, Hak Pengeluaran Khas (SDR) bernilai AS$6.0 bilion, pegangan emas sebanyak AS$6.1 bilion serta aset rizab lain berjumlah AS$2.4 bilion.
BNM turut memaklumkan bahawa keseluruhan asetnya berjumlah RM606.44 bilion.
Jumlah tersebut merangkumi emas, aset kewangan asing dan rizab lain termasuk SDR sebanyak RM520.14 bilion, selain pegangan kertas kerajaan Malaysia bernilai RM13.41 bilion.
Aset lain termasuk pinjaman dan pendahuluan sebanyak RM28.73 bilion, deposit dengan institusi kewangan berjumlah RM1.66 bilion, hartanah dan peralatan bernilai RM4.55 bilion serta aset lain sebanyak RM37.93 bilion.
Dari segi liabiliti pula, BNM memaklumkan mata wang dalam edaran berjumlah RM186.66 bilion.
Jumlah deposit pula sebanyak RM177.74 bilion yang merangkumi deposit institusi kewangan bernilai RM102.78 bilion, deposit Kerajaan Persekutuan sebanyak RM5.38 bilion serta deposit lain berjumlah RM69.58 bilion.
Selain itu, modal bank pusat tersebut berjumlah RM100 juta dengan rizab sebanyak RM202.83 bilion.
Liabiliti lain termasuk kertas Bank Negara bernilai RM7.97 bilion, peruntukan SDR sebanyak RM26.83 bilion serta liabiliti lain berjumlah RM4.29 bilion.