KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memantau secara serius pelaksanaan operasi membawa pulang rakyat Malaysia dari kawasan konflik di Asia Barat susulan pengesahan operasi evakuasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri menegaskan bahawa keselamatan dan nyawa rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, khususnya ketika berdepan situasi keselamatan yang tidak menentu.
Menurut beliau, Anwar turut mendoakan agar operasi evakuasi yang sedang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan semua rakyat Malaysia yang terjejas dapat pulang ke tanah air dengan selamat.
“Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Perdana Menteri mendoakan agar keseluruhan operasi evakuasi ini dipermudah, berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara dalam kenyataan berasingan memaklumkan kerajaan kini berada pada fasa akhir persiapan untuk melaksanakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Ketegangan di rantau tersebut dilaporkan semakin memuncak sejak 28 Februari lalu selepas serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, yang kemudiannya dibalas oleh Tehran dengan serangan terhadap kepentingan AS di beberapa negara Teluk.
Menurut rekod Kementerian Luar, setakat 8 Mac lalu seramai 641 rakyat Malaysia masih berada di beberapa negara yang terjejas di rantau berkenaan.
Dalam masa sama, sebanyak 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar melalui sistem e-Konsular setakat 7 Mac bagi memudahkan pihak berkuasa memantau kedudukan mereka.