KUALA LUMPUR, 9 Mac – Beberapa lagi pengumuman yang memberi manfaat kepada rakyat dijangka dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat sempena sambutan Aidilfitri.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Menurut beliau, pengumuman tambahan itu dijangka menyusul selepas Perdana Menteri sebelum ini memperincikan beberapa langkah intervensi segera kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat menjelang musim perayaan.
Jelasnya, langkah-langkah tersebut diambil bagi memastikan orang ramai dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna.
Sebagai antara pengumuman utama yang dibuat pagi tadi, Anwar memaklumkan pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan bermula esok.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 yang melibatkan penjawat awam, pesara serta veteran kerajaan, termasuk imam, bilal dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Kerajaan juga memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
Di samping itu, inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa turut diperluaskan bagi memberi lebih banyak manfaat kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
“Keseluruhannya terdapat tujuh pengumuman yang telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri pagi tadi,” katanya.
Tambah beliau, segala inisiatif dan bantuan yang diumumkan kerajaan diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup serta membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurutnya lagi, Kerajaan MADANI akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan selaras dengan komitmen untuk membina negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan.