Istilah ‘budaya songsang’ disaran bagi kekang normalisasi kandungan LGBT

Oleh Ahmad Fahmi

Masyarakat digalakkan memilih penggunaan istilah “budaya songsang” sebagai ganti kepada rujukan langsung terhadap komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) bagi mengelakkan normalisasi serta menghadkan peluasan kandungan berkaitan di media sosial.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, menjelaskan pendekatan itu bertujuan menyeragamkan bahasa dalam pengucapan dan penulisan di samping menghindari promosi tidak langsung terhadap budaya berkenaan.

Beliau berkata, kekerapan menyebut dan menulis istilah tersebut berpotensi mencetuskan peningkatan kandungan melalui algoritma platform digital, sekali gus mendorong lebih banyak paparan berkaitan isu itu.

Kenyataan itu dibuat ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, sebagai respons kepada soalan Hussin Ismail berhubung perkembangan pemantauan terhadap program tertutup berunsurkan LGBT serta strategi dakwah dan bimbingan yang dilaksanakan.

Mengulas program “Glamping with Pride” yang tular di media sosial pada awal tahun, Marhamah memaklumkan bahawa acara berkenaan telah dibatalkan, manakala pihak berkuasa negeri Selangor mengesahkan tiada permit dikeluarkan kepada penganjur.

Dalam aspek kawal selia kandungan pula, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui unit penyelidikannya menjalankan pemantauan berterusan terhadap bahan media sosial yang menyentuh isu budaya songsang dan ajaran sesat.

Tambah beliau, unit berkenaan turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi melaporkan serta memohon penurunan pautan atau kandungan yang dikenal pasti melanggar undang-undang dan bercanggah dengan nilai agama.