Barisan Jemaah Menteri kini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti sambil menepati sasaran prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi setiap kementerian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sebarang pelanggaran integriti tidak akan dipandang ringan oleh kerajaan.
“Kerajaan menekankan bahawa akauntabiliti bukan sekadar mengenai hukuman, tetapi juga melibatkan pembetulan, penambahbaikan berterusan, serta tanggungjawab moral terhadap rakyat,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai komitmen kerajaan terhadap prinsip akauntabiliti Kabinet dan tindakan susulan jika berlaku kegagalan prestasi kementerian, termasuk kemungkinan peletakan jawatan menteri mengikut amalan tadbir urus baik.
Dalam aspek tadbir urus dan integriti, Anwar menekankan bahawa kerajaan terus memperkukuh Pelan Antirasuah Nasional (NACP), memperkasakan Jabatan Audit Negara, dan mengukuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah.
“Setiap kementerian diwajibkan menetapkan KPI yang jelas dan terukur, selaras dengan Dasar Malaysia MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-12, dengan pemantauan berterusan oleh Unit Pantau MADANI dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU),” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan MADANI komited sepenuhnya terhadap akauntabiliti Ahli Jemaah Menteri, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip tanggungjawab bersama, dan kebertanggungjawaban individu setiap menteri kepada Parlimen serta rakyat.