Kerajaan mengekalkan komitmen untuk memastikan kebajikan pegawai, anggota serta keluarga pasukan keselamatan sentiasa diberi perhatian utama.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata keutamaan itu merangkumi kesejahteraan warga Kementerian Pertahanan Malaysia, termasuk penyelesaian isu perumahan yang memberi impak besar kepada kehidupan keluarga anggota.
Beliau menyampaikan perkara berkenaan ketika menghadiri mesyuarat bersama pengurusan tertinggi kementerian dan kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Perwira, hari ini.
Menurut Anwar, beliau turut menerima taklimat mengenai beberapa keputusan strategik yang berkaitan dengan aspek kedaulatan dan keselamatan negara, yang disifatkan penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan ATM menghadapi cabaran geo-strategik yang semakin rumit.
Beliau menegaskan ATM kekal sebagai teras pertahanan negara serta lambang kedaulatan yang perlu terus dipelihara dan diperkasa.
Selesai mesyuarat, Anwar meluangkan masa menghadiri majlis tazkirah di Masjid Khalid Bin Al Walid sempena program Ihya Ramadan bersama warga kementerian sebelum menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.