Kerajaan Jamin Tarif AS Tidak Jejas Syarikat Tempatan

Oleh Ahmad Fahmi

Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS) setakat ini tidak memberi kesan langsung kepada syarikat tempatan di negara ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata impak daripada langkah berkenaan adalah sangat terhad dan tidak membabitkan entiti perniagaan tempatan.

Menurut beliau, tarif tersebut sebenarnya dikenakan ke atas syarikat Amerika Syarikat yang menjalankan urus niaga atau pembelian di Malaysia, dan bukannya ke atas syarikat tempatan.

“Setakat ini, hampir tiada kesan kepada syarikat tempatan. Jika ada sekalipun, ia mungkin melibatkan kesan kecil secara tidak langsung terhadap syarikat Amerika yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berhubung implikasi tarif AS terhadap Malaysia dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjelaskan bahawa pengenalan tarif berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang bertujuan mendorong syarikat negaranya melabur di dalam AS berbanding di luar negara.

Mengulas cadangan supaya Malaysia membatalkan Perjanjian Timbal Balik (ART), Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Agung AS yang dibuat beberapa hari lalu tidak bermakna Malaysia perlu segera mengambil tindakan tanpa penilaian menyeluruh.

“Kerajaan perlu diberi ruang dan masa untuk meneliti implikasi serta kepentingan keputusan tersebut terhadap ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai semua aspek berkaitan sebelum mempertimbangkan sebarang langkah susulan.