MCMC lancar rundingan awam, perkenal kod baharu tingkat keselamatan dalam talian

Oleh Ahmad Fahmi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan rundingan awam bagi memperkukuh aspek keselamatan dalam talian, dengan fokus kepada perlindungan kanak-kanak serta golongan rentan menerusi cadangan kod baharu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MCMC memaklumkan rundingan itu melibatkan cadangan kerangka kawal selia untuk Pelan Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Plan) sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas perlindungan pengguna digital.

Menurut suruhanjaya itu, inisiatif berkenaan merangkumi Draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak yang dibangunkan selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025.

MCMC menjelaskan bahawa kerangka serta draf kod yang dicadangkan bertujuan meningkatkan keupayaan platform dalam talian untuk mengurus risiko keselamatan, di samping memberi penekanan khusus kepada perlindungan kanak-kanak, institusi keluarga dan kumpulan rentan.

Tambahnya, cadangan tersebut menetapkan kewajipan yang jelas kepada penyedia perkhidmatan supaya melaksanakan langkah munasabah dan berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian secara praktikal.

Rundingan awam itu juga, menurut MCMC, membuka ruang kepada masyarakat untuk menyalurkan pandangan serta menilai keberkesanan pendekatan perlindungan yang dirangka ke arah mewujudkan ekosistem digital lebih selamat.

Sehubungan itu, orang awam, pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan dialu-alukan untuk meneliti dokumen rundingan serta mengemukakan maklum balas.

Maklum balas bertulis boleh dihantar secara fizikal atau elektronik selewat-lewatnya jam 5 petang, 13 Mac depan.

Dokumen rundingan awam berhubung cadangan kerangka kawal selia Pelan Keselamatan Dalam Talian boleh diakses melalui laman sesawang rasmi MCMC, manakala Draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak turut disediakan untuk semakan pihak berkepentingan.