Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) menerusi satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar kawasan Bukit Chagar, Johor Bahru, hari ini.
MCMC memaklumkan operasi bersepadu tersebut dilaksanakan hasil maklumat awam serta pemantauan teknikal berterusan yang disokong analisis rangkaian, selepas aktiviti pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dikesan menyasarkan pengguna.
Menurut kenyataan MCMC, operasi yang dijalankan bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu membawa kepada pengesanan seorang individu serta sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform bagi memancarkan isyarat Fake BTS.
Hasil pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi yang tidak diperakui, yang berkeupayaan memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di kawasan sekitarnya.

MCMC turut mendedahkan siasatan awal mendapati individu terbabit direkrut melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian untuk mengendalikan peranti berkenaan, satu kaedah yang digunakan sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian jenayah tersebut.
Penemuan itu, menurut MCMC, mengesahkan kewujudan rangkaian sindiket terancang yang menyasarkan kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, kesalahan di bawah Peraturan 16 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan komitmennya untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi, selain akan terus mempergiat pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan bagi melindungi pengguna dan menjamin keselamatan serta kebolehpercayaan sistem komunikasi negara.