Bantuan SARA RM100 kepada semua bermula Isnin

Oleh Ahmad Fahmi

Kerajaan akan mula menyalurkan bantuan sekali beri berjumlah RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi Program SARA Untuk Semua, yang dikreditkan terus ke MyKad penerima bermula Isnin ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan orang ramai boleh membuat semakan kelayakan melalui portal rasmi sara.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung bantuan berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi pelaksanaan program itu yang melibatkan semua warganegara tanpa memerlukan sebarang permohonan, dengan bayaran dibuat secara automatik ke MyKad masing-masing.

Beliau berkata bantuan tersebut boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026 dan menegaskan tiada keperluan untuk mengemukakan permohonan kerana pengkreditan dibuat secara terus kepada penerima yang layak.

Amir Hamzah menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, yang meminta penjelasan mengenai peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih sepanjang 2025 serta nilai transaksi sebenar dalam pasaran tempatan.

Program SARA Untuk Semua merupakan sebahagian daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah payung Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang bertujuan meringankan beban rakyat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup melalui kaedah bantuan tanpa tunai yang lebih bersasar.

Cadangan peluasan kategori barangan

Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata kerajaan masih menjalankan penelitian terperinci berhubung cadangan memasukkan barangan basah sebagai kategori baharu di bawah program SARA, dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan makanan serta perlindungan pengguna sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau turut memaklumkan setakat 3 Februari lalu, jumlah rakan niaga SARA telah meningkat kepada 10,700 premis di seluruh negara berbanding hanya 700 kedai pada tahun 2024, dengan kira-kira 3,000 daripadanya terdiri daripada peniaga kecil.


Menurut beliau, selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan peluasan rangkaian SARA sehingga melibatkan 10,000 kedai runcit tahun ini, sekali gus memperbaiki liputan perkhidmatan kepada penerima.

Tambahnya, langkah itu dijangka mengurangkan jarak purata antara kedai runcit terdekat dan penerima bantuan daripada sekitar 10 kilometer kepada tujuh kilometer, sekali gus memudahkan akses rakyat terhadap keperluan harian.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Zaliha berhubung kesediaan kerajaan untuk menambah baik syarat serta tempoh kelulusan permohonan rakan niaga SARA, selain mempertimbangkan kemasukan barangan basah sebagai sebahagian daripada produk di bawah program berkenaan.