PARLIMEN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan bahawa tuntutan yang dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Pulau Pinang adalah tidak berlandaskan undang-undang serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip asas federalisme Malaysia.
Menurut beliau, Pulau Pinang telah lama diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, selain kedudukannya diperkukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963.
“Pulau Pinang tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak bergantung kepada sebarang tuntutan sejarah sebelum kemerdekaan,” katanya ketika membahaskan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Chow menegaskan bahawa dari sudut perundangan, status Pulau Pinang sebagai negeri dalam Persekutuan Malaysia adalah setara dengan negeri-negeri lain termasuk Kedah.
“Sejak awal lagi, tuntutan tersebut adalah tidak munasabah dan tidak mempunyai asas undang-undang. Ia juga jelas bertentangan dengan semangat Persekutuan Malaysia yang telah kita junjung sejak sekian lama,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sempadan antara Pulau Pinang dan Kedah telah ditetapkan secara sah melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325] yang diluluskan Parlimen selaras dengan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam sistem persekutuan, perubahan sempadan negeri tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, apatah lagi hanya melalui kenyataan politik tanpa melalui proses perundangan yang sah,” katanya.
Chow turut memberi peringatan bahawa membenarkan tuntutan sedemikian boleh membuka ruang kepada tuntutan lain yang berisiko menjejaskan kestabilan serta keharmonian negara.
“Persekutuan Malaysia dibina atas asas kesetaraan dan penghormatan terhadap kedaulatan setiap negeri. Jika tuntutan seperti ini dibenarkan, ia boleh mencetuskan ketidaktentuan pada masa hadapan,” tegasnya.
Beliau turut merujuk tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah sebagai contoh bagaimana tuntutan berasaskan sejarah tidak boleh mengatasi kedaulatan yang ditentukan oleh Perlembagaan.
Menurutnya, pendirian konsisten kerajaan Malaysia dalam pelbagai prosiding undang-undang jelas menunjukkan bahawa kedaulatan negeri hanya ditentukan oleh peruntukan perlembagaan serta pengiktirafan antarabangsa.
Dalam pada itu, Chow menyeru semua pihak agar menghentikan polemik politik yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan hubungan antara negeri.
“Kita perlu menamatkan perbahasan yang tidak membawa manfaat dan menumpukan usaha kepada kebajikan rakyat serta pembangunan negara,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan Kedah pada 2021 menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang berjumlah RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, susulan pajakan tersebut tidak disemak semula sejak 1786.
Awal Januari lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata kerajaan negeri yakin proses perundangan berhubung tuntutan tersebut boleh dimulakan tahun ini selepas analisis dokumen berkaitan diselesaikan.