CYBERJAYA – Kerajaan percaya masih terdapat sejumlah besar dana awam yang telah bocor atau diselewengkan dan berpotensi untuk dipulihkan, melebihi RM15.5 bilion yang berjaya dikutip sepanjang dua tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan tersebut bersandarkan kepada komitmen tinggi serta integriti berterusan dalam kalangan penjawat awam yang terlibat dalam usaha penguatkuasaan.
Menurut beliau, walaupun pelbagai cabaran masih wujud dalam pelaksanaan tindakan undang-undang, kerjasama erat antara agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Pesaingan Malaysia telah membuahkan hasil memberangsangkan.
“Hasil daripada kesungguhan dan kerjasama ini, kerajaan berjaya mengumpulkan dana tambahan daripada wang yang diseleweng, ditipu dan dirompak sehingga mencatat kutipan RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026, di sini.
Anwar menegaskan, dana yang berjaya dipulihkan itu merupakan hak rakyat yang terlepas akibat kelemahan sistem sebelum ini sehingga membuka ruang kepada ketirisan dan penyalahgunaan.
“Jika ditanya sama ada jumlah itu mencukupi, jawapan saya tidak. RM15.5 bilion bukan angka muktamad. Kita terima cabaran ini dan yakin dana yang hilang, bocor dan dicuri masih boleh dikembalikan demi menyelamatkan kepentingan negara,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengingatkan warga JKDM supaya tidak leka dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus memperkukuh kecekapan, prestasi serta integriti sebagai asas utama perkhidmatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif termasuk pengukuhan nilai ringgit, pencapaian tersebut masih belum mencukupi untuk mengangkat kedudukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan perubahan sikap, kesediaan menerima realiti baharu dan komitmen meningkatkan mutu kerja amat penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dalam landskap ekonomi global.