Kerajaan Pastikan Bekalan Ayam dan Telur Stabil Menjelang Ramadan

Oleh ADINDA

KUALA LUMPUR – Bekalan ayam dan telur dijangka mencukupi dan stabil di pasaran tempatan, terutama menjelang bulan Ramadan, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata ramalan itu berdasarkan pemantauan kementerian yang menunjukkan kedua-dua komoditi asas tersebut berada dalam keadaan stabil setakat ini.

“Namun begitu, beberapa faktor seperti penyeludupan masih berpotensi menjejaskan bekalan. Oleh itu, semua pihak berkaitan digesa untuk memantau dan mengawal situasi ini,” kata Mohamad semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam menjawab pertanyaan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai langkah kementerian memastikan kestabilan bekalan ayam selain mengurangkan import bagi melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana, Mohamad menegaskan bahawa pendekatan seimbang antara pengeluaran tempatan dan import sentiasa dijaga.

Bagi membantu penternak kecil menghadapi tekanan kos makanan ternakan, Menteri Pertanian memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Pertanian telah membangunkan alternatif makanan. Antaranya ialah penggunaan isi rong sawit, larva Black Soldier Fly, serta jagung bijirin tempatan. Sehingga kini, 15 syarikat terlibat dalam inisiatif tanaman jagung bijirin tempatan, dengan kerajaan memberikan sokongan awal dari segi kewangan dan logistik.

Berhubung transformasi kepada reban tertutup, Mohamad berkata peralihan itu dilakukan secara berperingkat, mengambil kira tahap kesiapsiagaan penternak dari segi infrastruktur dan logistik. “Sehingga Disember 2025, sebanyak 19 pembiayaan subsektor ternakan telah diluluskan bernilai RM62.7 juta. Namun, tiada subsidi khusus disediakan bagi transformasi ke reban tertutup,” jelasnya.