KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas bermula tahun depan, yang menawarkan perlindungan kesihatan swasta mampu milik dengan premium serendah RM80 sebulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelan berkenaan menyediakan had tahunan yang munasabah bagi menampung kos rawatan penyakit lazim, merangkumi hampir keseluruhan bil hospital, dengan perlindungan boleh diperbaharui sehingga usia 85 tahun.
Pelan MHIT asas memberi tumpuan kepada perlindungan kemasukan ke hospital, termasuk rawatan sebelum dan selepas hospitalisasi, rawatan susulan di klinik pengamal perubatan am, fisioterapi serta penjagaan kejururawatan di rumah.
Bagi individu berusia 30 hingga 35 tahun, premium bulanan dicadangkan antara RM80 hingga RM120, manakala bagi kumpulan umur 61 hingga 65 tahun antara RM280 hingga RM350. Individu berumur 75 tahun ke atas pula dijangka membayar premium antara RM500 hingga RM780 sebulan.
Had perlindungan tahunan ditetapkan pada RM100,000 bagi individu di bawah 61 tahun dan RM150,000 bagi mereka yang berusia lebih 61 tahun.
Pelan ini turut merangkumi rawatan kos tinggi seperti kanser, tertakluk kepada penilaian keberkesanan kos, serta menawarkan manfaat dan kadar premium yang diseragamkan bagi memudahkan perbandingan antara produk insurans dan takaful.
Bagi mengawal peningkatan kos perubatan, struktur bayaran bersama berperingkat akan dilaksanakan, dengan bayaran lebih rendah dikenakan sekiranya rawatan diperoleh di hospital rangkaian yang lebih menjimatkan.
Selain itu, pelaksanaan sistem bayaran berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) akan diperkenalkan secara berperingkat bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan kos rawatan.
Pelan MHIT asas merupakan antara empat inisiatif utama di bawah strategi RESET oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta, dengan matlamat mengawal inflasi kos perubatan serta memperluas akses penjagaan kesihatan kepada rakyat.