KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh peranan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebagai asas penting dalam pembinaan akidah, pembentukan akhlak serta nilai murni dalam kalangan generasi muda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke KAFA Saidatina Aisyah di Taman Harmoni, Bentong, Pahang hari ini.
Menurut Anwar, pendidikan agama di peringkat awal memainkan peranan besar dalam melahirkan anak muda yang memiliki keimanan kukuh, berilmu serta berani meneroka bidang baharu dengan berpaksikan nilai dan adab.
“Negara memerlukan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan teknologi, tetapi juga memiliki roh ihsan, rahmah dan kemanusiaan agar kemajuan tidak terpisah daripada nilai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 bagi membantu memperkukuh keperluan pembelajaran di KAFA Saidatina Aisyah.
Beliau turut menasihati pelajar agar terus menghormati ibu bapa, rajin menimba ilmu serta memperkukuh hafalan sebagai bekalan masa depan.
KAFA Saidatina Aisyah merupakan antara pusat pendidikan agama yang digerakkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi memenuhi keperluan pendidikan asas Islam di peringkat awal.