MCMC Siasat Kandungan China Press, Ketua Editor dan Pengarang Dirakam Keterangan

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan Ketua Editor serta Pengarang Dalam Talian akhbar China Press berhubung satu kandungan yang disyaki melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut kenyataan MCMC, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima terhadap penerbitan berkenaan, yang didakwa mengandungi maklumat tidak tepat mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen baru-baru ini, khususnya berkaitan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hasil semakan awal mendapati kandungan tersebut membawa maksud yang berbeza daripada titah sebenar Seri Paduka Baginda, sekali gus berpotensi menimbulkan salah faham awam serta persepsi tidak tepat terhadap institusi diraja dan kepentingan nasional.

Sehubungan itu, MCMC memaklumkan beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita bagi membantu siasatan lanjut.

Agensi itu menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penerbitan melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong serta isu berkaitan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mengingatkan semua organisasi media agar sentiasa melaksanakan semakan fakta secara teliti serta mematuhi etika kewartawanan yang bertanggungjawab.