Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar menitahkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan siasatan kes rasuah secara segera, menyeluruh dan berkesan.
Baginda turut mengarahkan kerajaan supaya menyediakan barisan hakim berpengalaman serta mewujudkan laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan proses perbicaraan kes rasuah.
“SPRM hendaklah menjalankan siasatan dengan pantas dan sempurna.
“Sediakan hakim yang berpengalaman serta laluan khas mahkamah supaya perbicaraan dapat diselesaikan dengan segera,” titah Baginda.
Titah berkenaan disampaikan oleh Seri Paduka Baginda ketika Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15, pagi ini.
Terdahulu, Baginda menzahirkan rasa kecewa terhadap kes rasuah yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia, sambil menyifatkan perbuatan tersebut sebagai pengkhianatan terhadap amanah yang dipikul oleh penjawat awam.
Baginda menegaskan bahawa kakitangan kerajaan merupakan pemegang amanah rakyat, dan sebarang penglibatan dalam rasuah adalah satu bentuk penderhakaan terhadap negara.