SHAH ALAM, 13 Januari -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap platform media sosial X, susulan kegagalan memastikan keselamatan pengguna, termasuk kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertimbangan itu dibuat selepas penyalahgunaan ciri kecerdasan buatan Grok dikesan berulang kali tanpa penapisan kandungan berbahaya yang mencukupi.
Menurut beliau, kegagalan platform tersebut menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan pengguna di Malaysia.
“MCMC sedang mempertimbangkan untuk menyaman X kerana gagal menjamin keselamatan pengguna, khususnya di Malaysia. Kita pernah membawa Telegram ke mahkamah sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi memaklumkan MCMC kini sedang mengadakan perbincangan dengan platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan Dalam Talian serta undang-undang sedia ada.
“Perbincangan sedang dijalankan untuk memastikan platform-platform ini akur dengan undang-undang Malaysia.
Sekiranya berlaku pelanggaran, tindakan boleh diambil bawah peruntukan sedia ada,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, usaha tersebut penting bagi menjamin persekitaran digital yang lebih selamat, seiring dengan kestabilan dasar dan keselamatan rakyat.