Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Razak bersalah atas pertuduhan jenayah pecah amanah dan salah guna kuasa yang berkait dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Collin Lawrence Sequerah, ketika membacakan keputusan, menyatakan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap bekas perdana menteri itu tanpa sebarang keraguan munasabah.
Menurut beliau, mahkamah mendapati semua elemen pertuduhan pertama telah dibuktikan sepenuhnya oleh pihak pendakwaan.
“Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan pertama. Justeru, tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Seksyen 23 Akta SPRM memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan, yang tergolong sebagai salah guna kuasa.
Mahkamah turut mendapati Najib bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan salah guna kuasa, menjadikan keseluruhan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM disabitkan terhadapnya.
Najib, yang kini berusia 72 tahun, didakwa pada tahun 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dengan perbicaraan kes bermula pada tahun 2019.
Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.
Selain itu, Najib turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa berlaku di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram difailkan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah sebelum ini mengarahkan Najib membela diri pada 30 Oktober 2024 selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.