KUALA LUMPUR, 23 Dis – Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip bahawa setiap pelaburan yang dibawa masuk ke negara mesti menghasilkan pulangan nyata kepada rakyat serta menyumbang kepada masa depan ekonomi Malaysia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pendekatan kerajaan terhadap pelaburan tidak terhad kepada peningkatan angka pertumbuhan semata-mata, sebaliknya menekankan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi yang inklusif.
Menurut beliau, pelaburan yang diraih di bawah Kerajaan MADANI berperanan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan tahap pendapatan serta memperkukuh taraf hidup rakyat, di samping membina kekuatan ekonomi baharu yang lebih kompetitif dan mampan.
“Ia bukan sekadar soal angka pelaburan, tetapi bagaimana manfaat tersebut dapat dirasai oleh rakyat hari ini dan generasi akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam ini.
Perdana Menteri turut berkongsi beberapa infografik yang menggambarkan pencapaian prestasi pelaburan negara bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025.
Antara yang dipaparkan ialah jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM285.2 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan sekali gus mengatasi semua rekod pelaburan sebelum pandemik COVID-19 antara 2006 hingga 2020.
Infografik berkenaan turut menonjolkan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia, apabila tujuh misi pelaburan yang dilaksanakan sepanjang tempoh itu berjaya menjana potensi pelaburan mencecah RM24.5 bilion.
Selain itu, sektor bernilai tinggi terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang RM137.9 bilion, bersamaan 48.4 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan.